Showing posts with label malay. Show all posts
Showing posts with label malay. Show all posts

Saturday, March 12, 2016

Still Struggling

Bismillah.

Hisashiburi. :)

Sejak saya berbisnes, boleh dikatakan saya agak kekurangan masa untuk melakukan 'research' tentang berbahasa Arab dengan anak. Sebelum ini saya banyak senaraikan ayat-ayat di dalam bahasa Melayu yang saya tidak pasti bagaimana ingin dituturkan dalam Bahasa Arab, kemudian saya akan beri kepada mentor saya untuk bantu. Namun senarai tersebut sudah kian lama tidak wujud. Boleh jadi kerana saya sudah tahu banyak istilah berkaitan, dan boleh jadi juga kerana saya lebih banyak menggunakan English untuk perkataan bahasa Arab yang saya tidak pasti.


Jujur saya katakan bahawa untuk bahasa yang kita tidak terlalu fasih dan masih dalam proses belajar, ia akan mengambil masa untuk menterjemahkan ayat-ayatnya ke dalam percakapan. Dan sejak berbisnes, saya sentiasa mahu cepat & agak sibuk. Kerana itu saya kadangkala tak sempat untuk fikir bagaimana untuk menyusun ayat dalam bahasa Arab ketika berbual dengan anak, jadi saya terus gunakan English, kerana vocabulary English saya lebih banyak berbanding bahasa Arab walaupun pada hakikatnya saya lebih suka bahasa Arab.


Bukan senang sebenarnya mahu mewujudkan sebuah keluarga yang multilingual. Khususnya apabila bahasa asing tersebut adalah bahasa yang parents sendiri belum fasih. Banyak usaha yang diperlukan, dan yang penting hati mesti terus bersemangat untuk meneruskan. Tapi inshaAllah, kalau kita sudah bermula, biasanya kita akan teruskan, cuma samada ia berjalan lancar atau tidak.


Anak saya tak banyak gunakan ayat bahasa Arab dalam perbualannya kecuali untuk perkataan tertentu. Seperti yang saya beritahu, hal ini mungkin kerana dia lebih sukakan bahasa Melayu sejak dia masuk ke playschool. Ketika dia masih baru-baru masuk playschool, hatta English pun dia tak mahu guna dalam percakapan. Dia cuma guna English untuk perkataan Melayu yang dia tidak tahu. Kita bercakap dalam English dengan dia, dia jawab dalam bahasa Melayu. Geram juga rasanya waktu tu. ;p Dia memang faham, tapi dia tak mahu rasa 'berbeza' dengan kawan-kawannya yang hampir semua bercakap dalam bahasa Melayu.


Waktu itu, yang saya perhatikan, anak saya hanya bercakap dalam English ketika bermain (dengan saya atau ketika sendirian). Contohnya ketika main masak-masak atau main anak patung, dia akan bertutur dalam English dan kadangkala saya kagum dengan perkataan-perkataan yang dia guna kerana dalam percakapan dengan saya atau papanya, dia tidak langsung menggunakan perkataan-perkataan tersebut. Saya agak tertanya juga mengapa dia lebih selesa berbahasa English ketika bermain.


Itu cerita beberapa bulan sebelum ini. Sekarang Alhamdulillah semakin hari semakin dia banyak menggunakan English dalam perbualan harian. Dan untuk bahasa Arab pula, nampaknya ia kini jatuh ke tempat ketiga dalam susunan bahasa penggunaannya. Dia masih kurang berbahasa Arab kecuali ketika kami membaca buku cerita bahasa Arab. Tapi saya tak risau kerana anak saya memang faham bahasa Arab yang saya guna ketika berbual dengannya, cuma dia masih belum 'terbuka hati' untuk menggunakan bahasa tersebut memandangkan baginya, bahasa Melayu lebih signifikan (kerana teacher & kawannya semua berbahasa Melayu) dan juga kerana dia tahu saya faham bahasa Melayu.


Saya bukan seperti bilingual parent lain yang hanya menggunakan satu bahasa dengan anak (khususnya yang mengamalkan cara One Parent One Language) yang pastinya akan menyebabkan anak itu perlu menggunakan bahasa ibunya ketika mereka berbual. Tapi saya adalah seorang ibu yang menggunakan tiga bahasa dalam perbualan saya. ;p Kerana itu anak saya tidak terasa bahawa dia perlu menggunakan bahasa Arab sahaja dengan saya disebabkan saya juga faham selain bahasa Arab. Cuma perlu diingat, walaupun kita 'rojakkan bahasa percakapan' kita, pastikan sekurang-kurangnya satu ayat itu perlu sepenuhnya dalam satu bahasa sahaja. Tak mengapa jika ayat seterusnya dalam bahasa lain asalkan dalam satu ayat, hanya ada satu bahasa. Kerana dari situ anak akan belajar menyusun ayat untuk setiap bahasa yang didedahkan kepadanya. Saya masih juga struggle dalam bab ini. ;)


Yang paling lucu adalah apabila dia yang mengingatkan kami untuk bercakap dalam 'bahasa masing-masing'. Jika kami terlebih banyak menggunakan bahasa Melayu dengannya, dia akan beri warning;

"Mama, speak Arabic!"

or

"Papa, speak English!"

-_____-"


Projek bilingual bukan mudah, tapi bukan mustahil. Gokigenyou!

This is soooo me. I mean the mother part. :D


Tuesday, May 20, 2014

Bilingual Activities in Restaurants?

Bismillah.

As I was sitting down flipping the pages of my bilingual reference book, I came across an interesting idea about bilingual activity. An activity outside home, inside a restaurant. Yes, a restaurant!

Instead of having to spend lots of money to go and travel to the country that speaks in the minority language that we teach our kids (in my case, it's Arabic and English- but English is not really a minority language in Malaysia I guess), why not we try to bring our kids to the ethnic restaurant. I believe we have lots of restaurant run by different ethnics. Japanese, Korean, Arabic, Indian, Western and more. However I am not sure whether the workers there are the native speakers of the 'meals' served. But I have found a lot Arabic cuisines restaurants which are truly Arabic! The waiters, the owners, and the customers are real Arab people, and even the menus are in Arabic.


This is definitely a cool idea for bilingual family with Arabic as a target language. Our kids will definitely feel awesome with the small-yet-original piece of the real country. Believe me, kids will feel good when they see that there are more people outside the family that use the minority language. We can let our kids to check on the menus and order them in the minority language, let them call the waiters, ask this and that about the menus & order whatever food they want; in the target language. Both you and your kids will definitely get the sensation of euphoria upon having this kind of chance.

Besides restaurant, any ethnic shop outlets or stores is a good place too to bring your kids. Though the name of every item might not be displayed, you can still teach your kids about their names while shopping. InshaAllah this kind of activity can make your child happy about being bilingual and always in the mood for learning more and more about the target language.



A piece of Middle East in Malaysia.


A piece of Japan in Malaysia. 

Monday, May 12, 2014

Bagaimana Mengajar Anak Bahasa Yang Belum Kita Kuasai

Bismillah.

Alhamdulillah akhirnya berkesempatan juga untuk menulis entri ini. Saya akan cuba tulis seringkas yang mungkin. Ini antara cadangan cara-cara untuk mengajar anak kita bahasa asing yang kita sendiri belum kuasai.

1) BELAJAR BAHASA ITU
Tak perlu tunggu kita fasih baru mula ajar anak. Cuma belajar basic bahasa tersebut. Setakat yang diperlukan untuk bercakap dengan anak. Kemudian perlahan-perlahan kita menambahbaik kefahaman kita dalam bahasa tersebut. Sama-sama belajar dengan anak. Huraian poin ini telah saya tulis dalam entri ini.

2) HANTAR KE TADIKA
Jika tidak ada masa untuk belajar sendiri, bolehlah memilih untuk hantar anak ke tadika atau playschool yang menggunakan target language sebagai medium. Sebolehnya cari tadika yang kanak-kanak di situ bercakap menggunakan target language. Anak akan cepat belajar jika dia melihat kawannya juga menggunakan bahasa seperti dia.

3) SENARAIKAN
Ini salah satu cara yang saya guna. :) Setiap kali kita terfikir apa ayat yang mahu kita gunakan dengan anak, cepat-cepat catatkan dan buat senarai. Kemudian carilah terjemahannya (tanya native speaker bahasa itu, cari di kamus atau internet).Selepas kita tahu terjemahannya, harus segera gunakan dalam perbualan seharian. Dan keraplah rujuk senarai itu.



4) PEMBANTU RUMAH, PENJAGA
Katakan kita ini suami dan isteri bekerjaya, dan perlukan pembantu rumah atau baby sitter untuk anak. Sebolehnya pilihlah pembantu rumah atau baby sitter yang boleh berbahasa dalam target language. Biasanya pembantu rumah filipina boleh berbahasa Inggeris (untuk mereka yang mahu dedahkan anak dengan bahasa Inggeris sejak kecil)

5) UPAH CIKGU
Upahlah seorang cikgu untuk datang ke rumah dan bercakap dengan anak anda dalam target language. Jika anak kita mendengar dan berinteraksi dalam bahasa tersebut SETIAP HARI (atau sekurang-kurangnya 5hari seminggu), meski cuma beberapa jam, sangat banyak yang akan dia belajar. Boleh pilih samada mahu mengupah guru bahasa ataupun pelajar universiti yang boleh berbahasa dalam target language.

6) PINDAH
Pindah ke negara yang menggunakan target language kita sebagai bahasa rasmi. Mungkin cara ini sangat mahal, tapi kalau kita ada kemampuan dan tujuan, cara ini adalah cara yang sangat berkesan. :)


6 Perkara yang Perlu Dielakkan Ketika Berbual dengan Kanak-kanak Bilingual

Bismillah.

Huraian ringkas tentang 6 perkara/pertanyaan/komen yang perlu kita elakkan ketika bercakap dengan kanak-kanak bilingual.

1) Kamu berasal dari mana?
*** Soalan ini kedengarannya normal. Dan biasa ditujukan kepada sesiapa. Tapi buat kanak-kanak bilingual, pertanyaan seperti ini ada berkemungkinan dapat membuatnya tersinggung dan sukar untuk memberi jawapan. Kerana di sebalik persoalan itu, seolah-olah kita memberitahunya "kamu bukan asal dari negara ini kan?", dan perkara ini membuatkan kanak-kanak tersebut merasa seperti dia adalah orang asing dalam negara sendiri.

2) Boleh tak cuba sebut _____ dalam bahasa ______?
*** Jangan minta kanak-kanak bilingual untuk menyebut perkataan dalam bahasa yang dia tahu, seolah-olah seperti dia perlu membuktikan bahawa dia mampu bertutur dalam bahasa tersebut. Bahasa adalah untuk berkomunikasi, bukan untuk menunjuk-nunjuk.

3) Kenapa kakak/abang kamu boleh cakap dalam bahasa _____ lebih baik dari kamu? 
*** Jangan cuba untuk membanding-bandingkan kemampuan kanak-kanak. Tahap perkembangan kemahiran mereka adalah berbeza-beza. Dan perlu diingati bahawa, jika kanak-kanak itu lebih banyak diam dan kurang berkomunikasi dalam bahasa yang diketahuinya, tak bermakna dia tidak tahu untuk bertutur dalam bahasa tersebut dengan baik.


4) Boleh tak terjemahkan untuk saya?
*** Menterjemah adalah satu kemahiran yang diajar di peringkat universiti. Orang dewasa yang bilingual juga belum tentu mampu menterjemah dengan baik, apa lagi kanak-kanak. Jangan beri tekanan kepada kanak-kanak bilingual dengan menyuruh mereka menterjemahkan perbualan orang dewasa.

5) Salah cara kamu sebut tu! 
*** Perlu berhati-hati dalam hal membetulkan kesilapan bahasa kanak-kanak bilingual, terutamanya ketika di khalayak ramai. Fokuskan pada apa yang betul yang telah mereka tunjukkan, dan terangkan bagaimana caranya untuk mereka memperbaiki skil berbahasa mereka.

6) Comelnya/kelakarnya/peliknya bila kamu guna bahasa ______!
*** Penggunaan bahasa yang berbeza-beza tidak merubah identiti kanak-kanak tersebut. Jika dia comel berbahasa Arab, dia juga comel berbahasa Melayu. ;) Boleh puji dia comel, tapi bukan dikaitkan dengan penggunaan bahasanya.


-Ringkasan dan terjemahan dari artikel oleh multilingualparenting.com

Friday, May 2, 2014

Malu Berbahasa Asing di Hadapan Keluarga dan Rakan

Bismillah.

Sekarang saya berada di rumah ibubapa saya. Pastinya satu perkara yang melucukan ialah apabila melihat ibu dan bapa bercakap dengan anak saya. Seronok juga bila mereka turut 'terpaksa' belajar perkataan-perkataan bahasa arab. ;)

Anak saya juga banyak belajar perkataan-perkataan bahasa Melayu yang baru dan seperti biasa, dia akan terus menggunakan perkataan tersebut, tak seperti bahasa arab yang biasanya dia akan ambil masa sebelum menggunakan perkataan yang baru didengar dan difahaminya. (Saya ada bercerita serba sedikit tentang beza bahasa arab dan bahasa Inggeris dan melayu di sini)

Berada di samping ibubapa membuatkan saya teringat akan satu perkara: tentang rasa malu untuk bercakap dalam bahasa lain dengan anak di hadapan ahli keluarga. Saya akui pada awalnya, memang saya agak segan untuk bertutur dalam English atau bahasa arab. Manakan tidak, untuk bercakap dalam loghat KL pun sudah kekok (kami guna loghat kelantan di rumah. :) ), apalagi untuk menggunakan bahasa lain. Namun, saya ketepikan juga rasa kekok itu. Alhamdulillah sekarang ini rasa agak natural untuk bercakap dalam bahasa lain dengan anak ketika di hadapan ahli keluarga. Mungkin kerana sudah terbiasa dan terpaksa.

Pun begitu, saya sebenarnya masih lagi ada rasa segan untuk berbahasa arab ketika berada di khalayak ramai seperti di shopping mall, restoran, ataupun ketika di hadapan kawan-kawan. Saya akan lebih cenderung untuk menggunakan English dengan anak saya. Saya masih lagi dalam proses untuk memberanikan diri untuk menggunakan bahasa Arab dengan anak ketika berada di luar rumah.

Saya pasti ada di antara kita yang turut mengalami dilema yang sama seperti saya. Biasanya rasa segan itu wujud kerana kita risau kita banyak melakukan kesilapan grammar/nahu dalam perbualan-perbualan kita. Selain itu, rasa malu itu juga wujud kerana sememangnya kita dari kecil tak biasa bertutur dalam bahasa selain bahasa Melayu bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

Jadi antara perkara yang boleh kita lakukan untuk membantu menghilangkan rasa segan itu ialah dengan memberitahu ahli keluarga atau sahabat handai bahawa kita ingin mengajar anak kita untuk bertutur dalam banyak bahasa. Selain itu, elok juga kalau kita terus mantapkan bahasa kita supaya hilang rasa 'takut guna tatabahasa salah'. Tips seterusnya; kita 'redah je'. ;) InshaAllah lama kelamaan rasa segan atau kekok itu akan berkurangan. Terus kuatkan semangat dan cari inspirasi untuk kekal dengan keputusan kita yang ingin mengajar anak lebih dari satu bahasa.

Seperti yang saya pernah sebut, melahirkan dan mendidik anak-anak bilingual tidaklah terlalu sukar, apalagi jika kita mempunyai kemahuan yang tinggi untuk memberi hadiah bilingualism kepada anak-anak. Moga terus bersemangat dan terinspirasi, inshaAllah! ♡


Thursday, May 1, 2014

5 Tips Membaca Kepada Anak-anak Bilingual

Bismillah.

Setiap ibubapa pasti tahu bahawa sesi read aloud atau membaca buku kepada anak-anak yang masih kecil adalah sangat penting dan bermanfaat. Di sini saya ada beberapa tips (diambil dari artikel English) ringkas tapi sangat penting tentang cara membacakan buku cerita kepada anak-anak yang didedahkan dengan dua bahasa. Tips ini sesuai digunakan kepada anak-anak yang berumur 2 tahun ke bawah.

1) Berikan prioriti yang tinggi kepada aktiviti membaca. 

☆☆ Pastikan setiap hari ada aktiviti membaca. Kita boleh gunakan buku bahasa Melayu tetapi bacakannya secara kuat kepada anak dalam bahasa lain (contohnya english atau arab). Anak tidak akan cuba untuk membaca tulisan dalam buku tersebut, oleh itu tak mengapa jika kita membacakannya dengan bahasa lain dan perkataan sendiri.

2) Bacakan buku yang sesuai mengikut umur anak

☆☆ Yang sebaiknya, kita bacakan buku yang berbeza-beza bahasa akan tetapi tahap isi kandungannya biarlah yang setara. Dari situ perkembangan bahasa anak dalam kedua-dua bahasa akan seimbang. Dan kalau boleh, belikan buku yang tahan lasak dan tak mudah rosak, kerana kita mahu anak kita 'bergelumang' dengan buku tersebut. ;)

3) Guna suara yang kuat dan penuh emosi

☆☆ Dalam tahap umur ini, anak biasanya akan belajar tentang bahasa dari cara kita menyebut sesuatu perkataan itu. Dan dalam tahap ini juga, tona suara kita yang tinggi dan berbeza-beza mengikut emosi adalah lebih penting dari isi kandungan buku
cerita.

4) Senyum sepanjang membaca

☆☆ Tona suara kita ketika membaca secara automatiknya akan kedengaran lebih lunak dan menarik jika dibaca dalam keadaan tersenyum. Hal ini sangat penting untuk menarik minat anak kita, dan juga untuk membuatkan anak rasa selesa dan seronok ketika mendengar pembacaan kita.

5) Namakan setiap objek yang terdapat dalam gambar

☆☆ Sebutlah dan rekalah cerita sendiri tentang semua objek ada dalam setiap mukasurat. Jangan hadkan kepada teks yang ada sahaja. Dan sebutlah nama objek tersebut dalam bahasa-bahasa yang kita ingin anak kita tahu. Ini secara tidak langsung akan memberi idea kepada anak bahawa sesuatu objek itu ada lebih dari satu nama, atau ada banyak bahasa untuk menggambarkannya.

Jadikanlah aktiviti membaca kepada anak sebagai sesi yang wajib untuk setiap hari. Selain ingin melahirkan rasa suka membaca dalam diri anak-anak, ia juga penting dalam membantu perkembangan percakapan dan minda mereka. Jangan lupa tunjuk juga di depan anak bahawa kita sukakan buku. InshaAllah anak akan mengikut jejak langkah kita.


Komen & Pengalaman Teman Tentang Bahasa Arab

Bismillah.

Di sini saya sekadar ingin berkongsi soal jawab (serta pengalaman berkaitan bahasa Arab) saya dengan seorang sahabat. Moga bermanfaat, terutama buat mana-mana pembaca yang tertanya soalan yang sama. Maaf sebab bahasa yang digunakan agak tidak formal. 

KELEBIHAN BAHASA ARAB & CARA MEMPERKENALKAN PERKATAAN BARU

Ummu Waqar: Kita rasa macam bahasa arab agak panjang untuk budak sebut seawal umur setahun.contoh perkataan buy n ashtari. key n miftah dll. perkataan bhs inggeris byk yg satu suku kata berbanding arab. yg anak2 akan mudah sebut..so mungkin anak akan cepat sebut perkataan english yg satu suku kata berbanding arab yg panjang. walaupun mereka faham bahasa or perkataan arab tu..betul x?bkn kita merendahkan atau menyatakan kekurangan bhs Al quran cuma melihat dari sudut pertuturan n kebolehan menguasainya.. sebab pernah test dgn waqar. 

nak tanya satu lagi.untuk ajar anak bahasa kita kena fokus pada beri dia sebanyak vocab utk dia kenal n hafal or byk conversation? maksud kita utk dia menguasai bhs tersebut n nampak bila dia bercakap dgn bhs tersebut..berdasarkan pengalaman sajidah n pembacaan sajidah. sebab sekarang ni nampak sgt waqar macam nak sangat tahu sume benda keliling dia. jadi kita mmg sekarang sedang nak bg vocab byk2 utk dia kenal n hafal.. lagi satu kalau mcm nk kenalkan benda cth kita dah ajar dia pen. n dia mmg dah boleh sebut n kenal pen. so next mcm mana kita nak bgtau dia yg tu qalamun? :)


Saya: Betul ckp awak. Berdasarkan pengalaman kita mcm tu la. Bhs arab ni dia amik masa sikit utk sebut. Tapi mmg dia paham. Cth kita ckp hafaadhoh tu, wpun dari dulu kita mmg guna word hafaadhoh je, tp smpi skrg dia blom sebut. Sebut pampers je. :p Tapi kita rasa tu satu kelebihan bahasa arab. Anak yg awal2 kenal bhs arab, otak dia akan lebih aktif. Word dan sebutan yg panjang buatkan dia lebih senang pelajari bhs lain after dia tau bhs arab. Dan sbb tu jugaklah org kata kalau taknak bg anak pelat, cepat2 ajar alquran pada dia. Sbb bhs alquran tu train lidah dia utk tak pelat sebut pape perkataan. Bila dah biasa dgn yg susah, so yg bhs lain yg senang mmg mudah utk dia bljr. Dgn nahu bhs arab yg sgt byk tu lg. Mmg kita yakin itu antara penyebab ulama dulu ckp "kalau nak pandai, belajarlah bhs arab". Sbb otak manusia ni makin digunakan, makin ia hebat berfungsi. MashaAllah..

Kalau cara kita, mmg byk bercakap n bacakan buku. Dlm proses tu mmg ada byk word baru dia kenal. Kita tunjuk2 jugak sesuatu bnda tu n sebut dlm bhs arab nya. Cth awak amik pen kan, awak ckp kat dia ummi aakhudz al qalam. Setiap kali pgg pen, sebutla apa-apa yg bkaitan pen. Dia akan dpt tangkap yg qalam tu awak refer pd pen. Selain berborak tu, cara kita ialah dgn bgtau pd dia semua bnda yg kita tgh buat. Kalau kita tgh sidai kain, kita bgtau dia apa kita tgh buat, apa yg kita tgh pegang etc.



Ummu Waqar: betul. sume ulama dulu mmg tekankan bahasa arab dulu.imam syafie.ibn sina.ibn khaldun.al hassan al mawardi kate "sekiranya anak mula belajar, perkara pertama yang diajar adalah Al Quran disertai pengajaran bahasa arab".
                                    

Ummu Waqar: Kita fokus nak bg dia kenal mmg tunjuk benda tu dan ckp apa namanya.ulang2 hari2. dan alhamdulillah dlm 3 hari dah dpt perkataan tu bila kita tny blk ...tp rasa kena try byk conversation jgk utk kenalkan benda.supaya anak blh kaitkan dgn benda lain dan belajar macam mana nak bina ayat.kan.?. pendapat sajidah utk kita nak start bg waqar kenal benda dlm bhs arab mcmn nak mula? dlm keadaan dia dah ada vocab lebih 100 perkataan in english dan beberapa puluh je in arabic..ajar benda lain yg dia xtau lg dlm arabic or amik perkataan english yg dia dah tahu dan ckp apa namanya in arabic ? 

Saya: Pasal vocab tu, kalau kita ingat balik, memang dari awal kita tak berapa guna cara perkenalkan word sahaja. Kita terus guna dalam bentuk ayat. Tapi ayat mudah sangat2. The key is repetition. Anak akan boleh tangkap apa maksud kita walaupun kita sebut dalam ayat. Dan kalau kita sebut word baru in arabic, dan dia tahu benda tu in english (biasanya colours/animals/fruits), kita memang akan ulang dalam bahasa lain yg dia faham. Biasanya English. Tapi kita ulang word yg baru tu je dlm bhs lain, tak ulang the whole sentence. Mula2 mmg kita akan risau and wonder samada dia dapat tangkap ke tak bhs arab yg kita ajar sebab dia jarang sgt nak sebut. Tapi kalau kita sebut atau bg arahan bkaitan benda tu, dia boleh je faham. Contohnye perkataan wisaadah. Mmg dah lama sgt2 kita ajar dia word tu tp baru akhir2 ni dia sebut. Terbukti sebenarnya selama ni dia mmg faham cuma nak sebut certain word bhs arab ni agak takes time tp worth it.


:)


Monday, April 28, 2014

How You Teach Them Other Languages is How You Teach Them Malay

Bismillah.

Alhamdulillah. We are back.

I just have too many things to be shared regarding bilingualism, I don't even know which one to write first. Too excited to share about my findings, experiences and stories, but honestly I need time to sit alone, relax my mind and arrange properly about the issues I want to share. (I wonder when I will have such time.)

Reading here and there about bilingualism somehow is overwhelming and I don't think sharing the articles directly here will be attractive and helpful enough, especially because of the abundance usage of scientific terms. Eventually I will try to translate those articles (into Malay or simpler English) and classify the contents into their own revolving topics. I guess in that way, it will be easier to be understood and applied.

Just now I saw a friend posted a status about her daughter that speaks English with her, and she received a comment asking what did she do that resulted her daughter to use English in her conversations at home. I noticed that this kind of question is actually a FAQ (frequently asked question) whenever someone posted stories or videos about their children speaking in English. If someone asks me the same question, my answer will be very simple:

Question: How do you teach your child to speak English?
Answer: The same way you teach your child Malay. 

So, how do we normally teach our kids Malay?

1) Talk and talk and talk in Malay with them.

2) Read Malay books to them.

3) Watch Malay tv programmes or videos.

4) Sing Malay nursery rhymes with our kids.

5) Let our kids listen to us speaking in Malay with others.

6) Let them meet and mingle with people that speak in Malay.

Same methods applied for other languages as well. :) No rocket science, it just needs big passion and high determination, two things that all of us are able to have. They are even easier to be gained once we've became a parent. We all know how much we always want to give the best to our kids and how much we are willing to sacrifice for them.

And basically raising our kids bilingual is actually a great gift to them, looking to the benefits of having a proficiency (or at least an understanding) in more than one language. I have written an entry about this topic, and indeed there are much much more benefits besides those I have mentioned. (Here is the entry). Or you can just simply search the keywords "benefits of bilingualism" and you will be very tired (or bored?) to read ample of writings about that topic.

I keep encouraging my friends to speak in more than one languages with their kids simply because THEY CAN. Yes, you can too, if you really want it. :)

P.s.: Of course there are more ways to teach languages to our kids, the above mentioned are just the basic methods.


;D



Thursday, April 10, 2014

Benarkah Bilingualism Menyebabkan Kekeliruan?

Bismillah.

Hari ni saya telah terima soalan yang sama dari beberapa orang rakan, iaitu tentang kekeliruan dalam bilingualism. Ramai rupanya ibu bapa yang takut untuk memulakan projek bilingual seawal mungkin gara-gara risaukan anak mereka akan mengalami kekeliruan dalam memahami bahasa.

Ya, isu ini sangat popular bila kita berbicara tentang bilingual. Saya akui, suatu masa dahulu (sebelum berkahwin) saya juga pernah membuat keputusan kepada diri sendiri bahawa saya hanya akan memperkenalkan bahasa kedua kepada anak saya selepas dia betul-betul dapat menguasai bahasa pertama. Semuanya kerana saya mendengar cakap-cakap orang yang mengatakan bilingualism akan menyebabkan seseorang kanak-kanak itu tidak mampu menguasai mana-mana bahasa dengan baik, malah ada kemungkinan dia akan lewat bercakap.

Saya faham, memang kita sebagai ibubapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak dan sebolehnya akan mengelak dari melakukan apa sahaja perkara yang akan memberi mudarat kepada perkembangan minda mereka. Tapi silap kita ialah, kita menerima dan mempercayai dakwaan tersebut secara bulat-bulat dan jarang sekali cuba mencari sejauh mana kesahihannya.

Disebabkan saya punya kemahuan yang sangat tinggi untuk bertutur dalam bahasa Arab dengan anak, maka saya telah mencari buku tentang bilingual dan Alhamdulillah saya menemuinya dan Alhamdulillah juga kerisauan saya terhapus. Dari pembacaan saya itu, kesimpulannya bilingualism TIDAK menyebabkan kekeliruan dan BUKAN penyebab seseorang kanak-kanak itu lambat bercakap.

Hari ini saya cuba cari artikel-artikel tentang perkara ini, demi menjawab persoalan dan kerisauan rakan-rakan. Namun setakat yang saya temui, semuanya dalam English dan penuh dengan istilah-istilah yang agak sukar untuk difahami, apalagi buat seorang 'beginner' seperti saya. Apapun, saya akan cuba membuat ringkasan dalam bahasa Melayu tentang isu ini.

MITOS TENTANG BILINGUALISM

1) Bilingualism menyebabkan anak-anak lewat bercakap.

SALAH. Dalam lingkungan umur 8 hingga 15 bulan, anak-anak bilingual akan SEKURANG-KURANGNYA memiliki jumlah perkataan yang sama banyak dengan anak-anak yang monolingual. Seseorang kanak-kanak itu dianggap lewat bercakap sekiranya dia masih tidak menyebut perkataan pertamanya ketika umurnya sudah memasuki 18 bulan. Mungkin ada kes di mana seorang kanak-kanak yang didedahkan dengan lebih satu bahasa lewat bertutur, tapi ketahuilah bilingual bukanlah penyebabnya. Jika perkara ini berlaku, ibubapa perlu pergi bertemu doktor atau language practitioner kerana boleh jadi kanak-kanak itu ada masalah pendengaran atau sebagainya.

Alhamdulillah, sebagai buktinya, walaupun anak saya didedahkan dengan tiga bahasa sejak dari kecil, dia tidak ada masalah lewat bercakap.

2) Kanak-kanak bilingual yang tercampur-campur bahasa percakapannya adalah bukti bilingualism menyebabkan kekeliruan.

SALAH. Istilah yang tepat untuk situasi mencampur adukkan banyak bahasa dalam satu ayat atau percakapan dipanggil code-switching atau code mixing. Code switching adalah perkara normal bagi kanak-kanak bilingual, terutamanya ketika bercakap sesama mereka. Malah, ramai pakar bahasa yang menganggap kanak-kanak yang melakukan code switching dalam perbualan mereka adalah tanda dia dapat menguasai bahasa yang mereka tahu dengan baik. Jadi jangan risau jika anak-anak anda tercampur bahasa dalam satu ayat.

Satu contoh mudah dari anak saya, ketika dia mahu membeli air, dia kadang-kadang menyebut: "Mama, nak buy maa' (ماء : air dalam bahasa Arab). Saya tidak risau bila dia membuat ayat seperti itu (dan tidak menganggapnya satu kekeliruan) kerana dia memang tahu apa perkataan 'nak' dalam English dan bahasa Arab. Dia juga tahu perkataan 'buy' dalam bahasa Arab tapi rasanya dia tidak tahu perkataan 'beli', kerana itu dia memilih untuk menyebut perkataan 'buy' dan bukan 'beli'. Mungkin juga kerana perkataan buy lebih cepat terlintas di kepalanya dan mudah disebut berbanding yang dalam bahasa arab (ashtari). Apa yang penting, dia berjaya menyampaikan hasrat hatinya tak kira dalam bahasa apa.

Satu perkara yang saya pasti, anda sebagai orang dewasa juga ada mencampur adukkan banyak bahasa dalam satu ayat dan itu bukan bererti anda keliru. ;)

3) Kita perlu menggunakan teknik One Parent One Language (cth: bapa bercakap dalam english dan ibu dalam bahasa Melayu) sahaja jika mahu anak menjadi bilingual. 

SALAH. Teknik ini memang adalah salah satu cara untuk mendidik anak menjadi bilingual. Tapi dakwaan yang mengatakan cara ini sahaja yang efektif adalah salah. Tiada bukti bahawa kaedah ini boleh mengurangkan code switching. Tak perlu risau jika anda menggunakan kaedah ibu/bapa bertutur lebih dari satu bahasa dengan anak-anak. Gunakan apa sahaja kaedah yang anda selesa dan mampu kuasai.

Masih ada banyak lagi mitos dan dakwaan-dakwaan tidak benar tentang bilingualism tapi saya hanya huraikan tiga perkara ini. Yang penting sekarang kita sudah tahu bahawa BILINGUALISM TIDAK AKAN MENYEBABKAN KEKELIRUAN DAN BUKAN PENYEBAB SESEORANG KANAK-KANAK ITU LEWAT BERCAKAP.

Mudah-mudahan entri saya kali ini dapat membantu ibubapa di luar sana untuk menghilangkan kerisauan tentang isu kekeliruan dalam bilingualism. Dan moga entri ini juga boleh jadi pemangkin kepada anda untuk segera melaksanakan projek bilingual. Amin ya Rabb.




Monday, April 7, 2014

Dia Faham Bahasa Melayu

Bismillah.

Ada sesetengah orang, apabila mereka mendengar saya bercakap dalam bahasa Arab dan English dengan anak saya, akan ada satu soalan sama yang mereka akan tanya:

"Dia (anak saya) faham Bahasa Melayu tak?"

Kalau anda baca teks selamat datang blog pada ini, anda juga akan dapat lihat bahawa secara peratusannya, hanya 5% percakapan saya dengan anak adalah dalam bahasa Melayu. Selalunya perkataan Bahasa Melayu terkeluar dari mulut ketika saya sedang berasa marah pada anak. :p (kata orang, antara bukti kita sudah menguasai sesuatu bahasa dengan baik adalah kita mampu bercakap ketika marah dengan menggunakan bahasa tersebut.) 

Sekarang saya dalam proses mencuba untuk bercakap dalam bahasa Arab dengan anak meskipun dalam keadaan sedikit marah atau panik. Bolehlah saya katakan sebenarnya saya sangat kurang berbahasa Melayu dengan anak. Jadi apakah jawapan untuk soalan di atas?

Jawapannya, ya, ANAK SAYA FAHAM BAHASA MELAYU. Malah dia juga banyak bertutur dalam bahasa Melayu. Antara perkara yang saya rasa banyak menyumbang kepada kefahamannya terhadap bahasa Melayu ialah:

1) Saya dan suami bertutur dalam bahasa Melayu sesama kami. Jadi anak saya belajar melalui pendengaran dan juga pemerhatian. Contohnya dia dengar saya menyebut 'kasut', kemudian dia nampak saya mengambil kasut. Dari situlah dia belajar untuk faham apa maksud perkataan kasut.

2) Kebanyakan orang yang anak saya jumpa, akan berbual dalam bahasa Melayu dengannya. Contohnya atok dan nenek, sepupu-sepupunya, kawan-kawan saya dan juga mana-mana orang asing yang kami temui.

3) Bahasa Melayu adalah bahasa yang sangat mudah dipelajari dan ringan di lidah. Antara bahasa Melayu, Arab dan English, bahasa Melayu adalah bahasa yang sangat cepat anak saya dapat 'tangkap' dan setiap kali dia terdengar perkataan bahasa Melayu yang baru, dia akan segera menggunakannya dalam percakapannya. 

Perkataan bahasa Arab adalah yang paling lambat disebut (tapi dia boleh faham), mungkin kerana kebiasaannya perkataan-perkataan bahasa Arab adalah sedikit panjang dan susah di sebut. Walaupun dari dia kecil saya menyebut perkataan hafaadhoh (pampers) kepadanya, sampai sekarang dia lebih banyak menggunakan perkataan pampers.

4) Di playgroup nya, dia banyak mendengar kawan-kawan sebayanya bercakap dalam bahasa Melayu. Teacher nya juga kadang-kadang berbahasa Melayu.

5) Darah Melayu mengalir dalam badannya. Mungkin? ;)

Kerana itu saya tidak bimbang walaupun saya sendiri tidak bercakap dalam Bahasa Melayu dengan anak. Saya ada 'cikgu-cikgu' secara percuma yang telah dan akan membantu anak saya memahami bahasa ibunda nya itu. Saya juga sayangkan bahasa Melayu dan tiada sedikit pun niat agar anak saya berasa asing dengan bahasa nenek moyangnya.

Jadi kesimpulan yang saya boleh buat dari situasi ini, untuk memahami sesuatu bahasa, percakapan (dan mendengar orang lain bercakap) dalam bahasa tersebut adalah amat penting. Jadi, mulakan bercakap dalam bahasa kedua (atau ketiga) dengan anak-anak anda. Bercakap dan bercakap dan bercakap. InshaAllah ia adalah permulaan yang sangat bagus.

Antara perkara yang sangat saya suka tentang projek bilingualism ialah: dalam proses untuk mengajar anak, saya sendiri perlu banyak belajar dan Alhamdulillah banyak ilmu baru yang diperolehi.



p.s.: Nak tahu dialog-dialog dalam bahasa Arab yang biasa digunakan ketika berada di dapur dengan anak? Nantikan entri selepas ini. Insha Allah. :)

Friday, April 4, 2014

Mentor Untuk Projek Bilingual

Bismillah.

Saya sangat sarankan kawan-kawan yang ada asas dalam bahasa arab untuk sama-sama belajar dengan anak untuk bercakap menggunakan bahasa alQuran. Sememangnya asas dalam bahasa ini adalah satu bonus kerana kita sudah sedia tahu serba sedikit tatabahasa bahasa Arab. 

Kita tahu beza kata ganti diri untuk lelaki, perempuan, fi'il madhi (past tense), fi'il mudhari' (present tense) dan seterusnya. Apa yang kita perlukan sekarang (untuk memulakan projek bilingual) hanyalah mengetahui perkataan-perkataan yang perlu digunakan ketika berinteraksi dengan anak-anak.

Kita tak perlu tunggu sehingga anak kita bersekolah baru didedahkan dengan bahasa-bahasa lain. Kerana apa? Kerana kita sememangnya mampu mulakan sejak anak-anak masih kecil. Tak perlu bersusah payah di kemudian hari untuk menghantar anak-anak ke tuisyen atau mengupah seorang tutor datang ke rumah untuk bercakap bahasa asing dengan anak-anak anda. Gunakan cara paling mudah dan murah dan sangat bermanfaat untuk kita dan anak-anak; iaitu kita (dan pasangan) sebagai guru anak-anak.

Terus terang saya katakan, perjalanan bilingual saya yang baru beberapa tahun ini bolehlah disifatkan sebagai 'slowly but surely'. Kerana saya sendiri merasakan bahawa saya sangat-sangat kurang vocabulary dalam bahasa arab terutamanya yang berkaitan kehidupan seharian dan perbualan dengan anak-anak. 

Benar, saya mengambil degree dalam bidang yang 90% subjeknya adalah dalam bahasa arab, tapi itu tidak bermakna saya cukup ilmu untuk merealisasikan impian bilingual saya. Agak menyedihkan pada permulaan usaha ini, kerana perkataan 'lampin bayi' dalam bahasa arab pun saya tidak tahu.

Saya tidak rajin untuk cari satu persatu perkataan yang berkaitan di dalam kamus, lantas saya membuat keputusan untuk meminta tolong dari sahabat saya yang berbangsa Arab yang menetap di Jeddah. Cara saya:

1) terus bercakap dengan anak dalam bahasa arab. Jika saya tak tahu apa perkataannya dalam bahasa Arab, saya akan segera catatkan dalam buku dan biasanya saya kumpul sehingga 7-12 'soalan' (biasanya dalam bentuk ayat)

2) saya beri soalan-soalan tersebut kepada sahabat saya dan minta dia terjemahkan.

Bagi saya cara ini lebih mudah dan selamat jika dibandingkan dengan cara saya merujuk kamus. Kerana saya akan tahu istilah mana yang lebih biasa digunakan oleh masyarakat arab dalam sesuatu situasi. Sahabat saya biasanya akan menerangkan serba sedikit tentang istilah mana yang kerap digunakan atau perkataan mana yang jarang digunakan.

Di sini saya letakkan satu contoh jawapan dari sahabat saya itu kepada persoalan saya:



Mungkin selepas ini anda juga boleh mencari seorang mentor sebagai rujukan. Moga kita kekal bersemangat untuk mengajar bahasa kedua atau ketiga kepada anak. InshaAllah. 

Thursday, April 3, 2014

Kelebihan Bilingual

Bismillah.

Seperti yang saya tulis sebelum ini, anda akan menjumpai satu senarai panjang tentang kelebihan yang akan anak anda perolehi sekiranya dia membesar sebagai seorang bilingual. Saya akan cuba kongsikan kelebihan-kelebihan bilingualism, dari pembacaan saya dan juga dari pengalaman sendiri.

1) Boleh berfikir dan memahami tentang dunia ini dengan lebih dari satu cara. Bahasa pada hakikatnya turut mengajar kita tentang budaya bangsa yang menuturkannya. Sebagai contoh, melahirkan anak dalam English disebut 'gives birth', manakala dalam bahasa Sepanyol ia disebut 'dar luz' yang bererti memberi cahaya. Dari dua istilah yang berbeza ini, otak kita akan serta merta mampu faham bahawa proses melahirkan anak bukan sekadar tentang fizikal, tapi juga tentang spiritual, iaitu seorang ibu turut melahirkan satu jiwa baru ketika bersalin.

2) Anak yang mampu memahami banyak bahasa akan mempunyai lebih banyak pilihan dari segi bahan bacaan atau tontonan, berbanding anak yang cuma tahu satu bahasa.

3) Kebolehan memahami bahasa kedua biasanya akan lebih mudah untuk mempelajari bahasa ketiga dan seterusnya. Ini kerana otak anak sudah mampu melihat dan membezakan penggunaan bahasa dan juga prinsip-prinsip tatabahasa bagi bahasa yang berbeza.

4) Anak akan menggunakan kehebatan otak secara lebih optimum. Kita semua yakin otak manusia dijadikan sangat hebat, namun sejauh mana kehebatan yang mampu otak kita capai adalah bergantung kepada sebanyak mana ia digunakan. Sudah pasti anak-anak yang aktif berfikir dan memahami banyak bahasa, bererti lebih banyak berlaku aktiviti di dalam mindanya, lantas menjadikan otaknya lebih cergas dan pintar.

5) Dari segi sosial, anak-anak bilingual akan berpeluang untuk mengenali dan berinteraksi dengan lebih ramai orang, seterusnya lebih memahami cara hidup orang lain. Hal ini boleh membantunya untuk merasa lebih seronok untuk memahami tentang kehidupan dan bagaimana untuk bersosial sesama manusia.

Bilingualism adalah satu hadiah yang sangat berharga yang anda MAMPU beri kepada anak anda. Jika anda sudah berada dalam usaha ini, teruskanlah dan tahniah. Jika anda belum mulakan, sekarang adalah waktu yang terbaik.

Yakinlah, anda mampu jika anda mahu.



Wednesday, April 2, 2014

Anda Juga Seorang Bilingual.

Bismillah.

Pasti ada ibubapa yang tertanya, kenapa perlu untuk kita bercakap dalam lebih dari satu bahasa dengan anak-anak kita? Apa kepentingannya? Kenapa perlu mula sejak mereka lahir lagi?

Jika anda google tentang kelebihan bilingual, banyak yang akan anda temui (tapi kebanyakannya dalam bahasa Inggeris). Saya juga turut mahu berkongsi manfaat-manfaat yang insha Allah akan kita perolehi sekiranya kita bermula seawal mungkin untuk mendidik anak menjadi seorang bilingual. Tapi untuk permulaan ini seeloknya saya huraikan apa itu erti bilingual.

Secara ringkas, bilingual bermaksud seseorang individu yang boleh memahami dua bahasa. (Jika lebih dari dua bahasa, ia dipanggil multilingual, tapi istilah bilingual juga sudah cukup untuk memberi penjelasan bahawa seseorang itu tahu lebih dari satu bahasa). Saya juga akan lebih cenderung menggunakan istilah bilingual dalam blog ini berbanding multilingual atau trilingual dan sebagainya.

Dan sebenarnya bilingual boleh dibahagikan kepada TIGA jenis iaitu:

1) bilingual pasif: faham sesuatu bahasa, tetapi tidak menggunakan bahasa tersebut dalam perbualannya. Mungkin hampir semua rakyat malaysia sekurang-kurangnya tergolong dalam kelompok ini.

2) kelompok bilingual yang boleh faham dan juga bercakap dalam bahasa kedua (atau ketiga dan seterusnya).

3) mereka yang boleh faham, bertutur dan menulis dalam dua bahasa. tapi sehebat manapun seseorang itu dalam menguasai banyak bahasa, hakikatnya sukar untuk mencapai tahap bilingual seimbang atau balanced bilingual kerana akan tetap ada satu bahasa yang dia lebih mahir berbanding bahasa lain.

Jadi anda berada di kelompok yang mana? :)


But baby, you can drool in two languages! ;D

Bilingual Pages

Bismillah.

Di sini saya ingin kongsikan beberapa page Facebook berkenaan bilingual dan juga mempelajari bahasa. Moga bermanfaat. :)

1) https://www.facebook.com/bilingualmonkeys

2) https://www.facebook.com/trilingualbysix

3) https://www.facebook.com/thelwfc

4) https://www.facebook.com/i.love.bilingualbirdies

5) https://www.facebook.com/trilingualmama

6) https://www.facebook.com/AllThingsMultilingual