Thursday, April 3, 2014

Kelebihan Bilingual

Bismillah.

Seperti yang saya tulis sebelum ini, anda akan menjumpai satu senarai panjang tentang kelebihan yang akan anak anda perolehi sekiranya dia membesar sebagai seorang bilingual. Saya akan cuba kongsikan kelebihan-kelebihan bilingualism, dari pembacaan saya dan juga dari pengalaman sendiri.

1) Boleh berfikir dan memahami tentang dunia ini dengan lebih dari satu cara. Bahasa pada hakikatnya turut mengajar kita tentang budaya bangsa yang menuturkannya. Sebagai contoh, melahirkan anak dalam English disebut 'gives birth', manakala dalam bahasa Sepanyol ia disebut 'dar luz' yang bererti memberi cahaya. Dari dua istilah yang berbeza ini, otak kita akan serta merta mampu faham bahawa proses melahirkan anak bukan sekadar tentang fizikal, tapi juga tentang spiritual, iaitu seorang ibu turut melahirkan satu jiwa baru ketika bersalin.

2) Anak yang mampu memahami banyak bahasa akan mempunyai lebih banyak pilihan dari segi bahan bacaan atau tontonan, berbanding anak yang cuma tahu satu bahasa.

3) Kebolehan memahami bahasa kedua biasanya akan lebih mudah untuk mempelajari bahasa ketiga dan seterusnya. Ini kerana otak anak sudah mampu melihat dan membezakan penggunaan bahasa dan juga prinsip-prinsip tatabahasa bagi bahasa yang berbeza.

4) Anak akan menggunakan kehebatan otak secara lebih optimum. Kita semua yakin otak manusia dijadikan sangat hebat, namun sejauh mana kehebatan yang mampu otak kita capai adalah bergantung kepada sebanyak mana ia digunakan. Sudah pasti anak-anak yang aktif berfikir dan memahami banyak bahasa, bererti lebih banyak berlaku aktiviti di dalam mindanya, lantas menjadikan otaknya lebih cergas dan pintar.

5) Dari segi sosial, anak-anak bilingual akan berpeluang untuk mengenali dan berinteraksi dengan lebih ramai orang, seterusnya lebih memahami cara hidup orang lain. Hal ini boleh membantunya untuk merasa lebih seronok untuk memahami tentang kehidupan dan bagaimana untuk bersosial sesama manusia.

Bilingualism adalah satu hadiah yang sangat berharga yang anda MAMPU beri kepada anak anda. Jika anda sudah berada dalam usaha ini, teruskanlah dan tahniah. Jika anda belum mulakan, sekarang adalah waktu yang terbaik.

Yakinlah, anda mampu jika anda mahu.



No comments: