Bismillah.
Setiap ibubapa pasti tahu bahawa sesi read aloud atau membaca buku kepada anak-anak yang masih kecil adalah sangat penting dan bermanfaat. Di sini saya ada beberapa tips (diambil dari artikel English) ringkas tapi sangat penting tentang cara membacakan buku cerita kepada anak-anak yang didedahkan dengan dua bahasa. Tips ini sesuai digunakan kepada anak-anak yang berumur 2 tahun ke bawah.
1) Berikan prioriti yang tinggi kepada aktiviti membaca.
☆☆ Pastikan setiap hari ada aktiviti membaca. Kita boleh gunakan buku bahasa Melayu tetapi bacakannya secara kuat kepada anak dalam bahasa lain (contohnya english atau arab). Anak tidak akan cuba untuk membaca tulisan dalam buku tersebut, oleh itu tak mengapa jika kita membacakannya dengan bahasa lain dan perkataan sendiri.
2) Bacakan buku yang sesuai mengikut umur anak
☆☆ Yang sebaiknya, kita bacakan buku yang berbeza-beza bahasa akan tetapi tahap isi kandungannya biarlah yang setara. Dari situ perkembangan bahasa anak dalam kedua-dua bahasa akan seimbang. Dan kalau boleh, belikan buku yang tahan lasak dan tak mudah rosak, kerana kita mahu anak kita 'bergelumang' dengan buku tersebut. ;)
3) Guna suara yang kuat dan penuh emosi
☆☆ Dalam tahap umur ini, anak biasanya akan belajar tentang bahasa dari cara kita menyebut sesuatu perkataan itu. Dan dalam tahap ini juga, tona suara kita yang tinggi dan berbeza-beza mengikut emosi adalah lebih penting dari isi kandungan buku
cerita.
4) Senyum sepanjang membaca
☆☆ Tona suara kita ketika membaca secara automatiknya akan kedengaran lebih lunak dan menarik jika dibaca dalam keadaan tersenyum. Hal ini sangat penting untuk menarik minat anak kita, dan juga untuk membuatkan anak rasa selesa dan seronok ketika mendengar pembacaan kita.
5) Namakan setiap objek yang terdapat dalam gambar
☆☆ Sebutlah dan rekalah cerita sendiri tentang semua objek ada dalam setiap mukasurat. Jangan hadkan kepada teks yang ada sahaja. Dan sebutlah nama objek tersebut dalam bahasa-bahasa yang kita ingin anak kita tahu. Ini secara tidak langsung akan memberi idea kepada anak bahawa sesuatu objek itu ada lebih dari satu nama, atau ada banyak bahasa untuk menggambarkannya.
Jadikanlah aktiviti membaca kepada anak sebagai sesi yang wajib untuk setiap hari. Selain ingin melahirkan rasa suka membaca dalam diri anak-anak, ia juga penting dalam membantu perkembangan percakapan dan minda mereka. Jangan lupa tunjuk juga di depan anak bahawa kita sukakan buku. InshaAllah anak akan mengikut jejak langkah kita.
No comments:
Post a Comment