Ada sesetengah orang, apabila mereka mendengar saya bercakap dalam bahasa Arab dan English dengan anak saya, akan ada satu soalan sama yang mereka akan tanya:
"Dia (anak saya) faham Bahasa Melayu tak?"
Kalau anda baca teks selamat datang blog pada ini, anda juga akan dapat lihat bahawa secara peratusannya, hanya 5% percakapan saya dengan anak adalah dalam bahasa Melayu. Selalunya perkataan Bahasa Melayu terkeluar dari mulut ketika saya sedang berasa marah pada anak. :p (kata orang, antara bukti kita sudah menguasai sesuatu bahasa dengan baik adalah kita mampu bercakap ketika marah dengan menggunakan bahasa tersebut.) Sekarang saya dalam proses mencuba untuk bercakap dalam bahasa Arab dengan anak meskipun dalam keadaan sedikit marah atau panik. Bolehlah saya katakan sebenarnya saya sangat kurang berbahasa Melayu dengan anak. Jadi apakah jawapan untuk soalan di atas?
Jawapannya, ya, ANAK SAYA FAHAM BAHASA MELAYU. Malah dia juga banyak bertutur dalam bahasa Melayu. Antara perkara yang saya rasa banyak menyumbang kepada kefahamannya terhadap bahasa Melayu ialah:
1) Saya dan suami bertutur dalam bahasa Melayu sesama kami. Jadi anak saya belajar melalui pendengaran dan juga pemerhatian. Contohnya dia dengar saya menyebut 'kasut', kemudian dia nampak saya mengambil kasut. Dari situlah dia belajar untuk faham apa maksud perkataan kasut.
2) Kebanyakan orang yang anak saya jumpa, akan berbual dalam bahasa Melayu dengannya. Contohnya atok dan nenek, sepupu-sepupunya, kawan-kawan saya dan juga mana-mana orang asing yang kami temui.
3) Bahasa Melayu adalah bahasa yang sangat mudah dipelajari dan ringan di lidah. Antara bahasa Melayu, Arab dan English, bahasa Melayu adalah bahasa yang sangat cepat anak saya dapat 'tangkap' dan setiap kali dia terdengar perkataan bahasa Melayu yang baru, dia akan segera menggunakannya dalam percakapannya. Perkataan bahasa Arab adalah yang paling lambat disebut (tapi dia boleh faham), mungkin kerana kebiasaannya perkataan-perkataan bahasa Arab adalah sedikit panjang dan susah di sebut. Walaupun dari dia kecil saya menyebut perkataan hafaadhoh (pampers) kepadanya, sampai sekarang dia lebih banyak menggunakan perkataan pampers.
4) Di playgroup nya, dia banyak mendengar kawan-kawan sebayanya bercakap dalam bahasa Melayu. Teacher nya juga kadang-kadang berbahasa Melayu.
5) Darah Melayu mengalir dalam badannya. Mungkin? ;)
Kerana itu saya tidak bimbang walaupun saya sendiri tidak bercakap dalam Bahasa Melayu dengan anak. Saya ada 'cikgu-cikgu' secara percuma yang telah dan akan membantu anak saya memahami bahasa ibunda nya itu. Saya juga sayangkan bahasa Melayu dan tiada sedikit pun niat agar anak saya berasa asing dengan bahasa nenek moyangnya.
Jadi kesimpulan yang saya boleh buat dari situasi ini, untuk memahami sesuatu bahasa, percakapan (dan mendengar orang lain bercakap) dalam bahasa tersebut adalah amat penting. Jadi, mulakan bercakap dalam bahasa kedua (atau ketiga) dengan anak-anak anda. Bercakap dan bercakap dan bercakap. InshaAllah ia adalah permulaan yang sangat bagus.
Antara perkara yang sangat saya suka tentang projek bilingualism ialah: dalam proses untuk mengajar anak, saya sendiri perlu banyak belajar dan Alhamdulillah banyak ilmu baru yang diperolehi.
p.s.: Nak tahu dialog-dialog dalam bahasa Arab yang biasa digunakan ketika berada di dapur dengan anak? Nantikan entri selepas ini. Insha Allah. :)
No comments:
Post a Comment