Showing posts with label inspiration. Show all posts
Showing posts with label inspiration. Show all posts

Tuesday, May 6, 2014

Mantapkan Diri Sambil Mengajar Anak

Bismillah.

Antara salah satu tips yang saya sebut tentang cara untuk mengurangkan rasa malu untuk bertutur dalam bahasa asing di depan orang lain ialah dengan memantapkan penguasaan diri sendiri dalam bahasa yang ingin kita dedahkan kepada anak. Bukan sekadar untuk menghilangkan rasa malu, bahkan perkara ini amat penting untuk memastikan projek bilingual kita berjaya, inshaAllah. Secara ringkasnya, menurut Dr. Stubbe Kester, antara perkara yang boleh kita lakukan untuk memantapkan diri dalam sesuatu bahasa ialah:

1) Gunakan program-program bahasa yang ada di internet.

2) Cari rakan yang boleh kita praktikkan bahasa tersebut dalam perbualan dengannya.

3) Cari dan baca buku kanak-kanak dalam bahasa yang kita mahu itu.

4) Senaraikan semua perbuatan, objek dan apa sahaja perkataan yang anda ingin gunakan dalam perbualan dengan anak anda (dalam bahasa anda), kemudian cari terjemahannya (tanya kawan, cari di kamus, atau cek di internet) dalam bahasa yang anda ingin pelajari itu, dan jika rajin, boleh tulis nama objek ke atas kad (dalam target language) dan tampal pada objek tersebut. Cara ini akan turut membantu anak anda untuk belajar.

5) Jika ada, jadi sukarelawan dalam kelas bahasa tersebut yang disediakan untuk kanak-kanak. (Boleh tolong mengajar atau membantu guru atau apa sahaja dalam sesi kelas itu asalkan kita cuba biasakan diri mendengar bahasa tersebut diajar dalam kelas)

6) Pergi ke negara di mana bahasa tersebut dituturkan oleh rakyatnya. (Yang ini pasti sangat menyeronokkan!)



p.s.: Tips tambahan daripada lecturer sewaktu saya degree dahulu: Selalu bercakap dengan diri sendiri menggunakan bahasa yang kita ingin kuasai itu. Contohnya sebelum tidur, kita cerita pada diri sendiri apa yang kita sudah lakukan sepanjang hari, menggunakan target language. Bukan monolog dalaman ya. ;)





Friday, May 2, 2014

Malu Berbahasa Asing di Hadapan Keluarga dan Rakan

Bismillah.

Sekarang saya berada di rumah ibubapa saya. Pastinya satu perkara yang melucukan ialah apabila melihat ibu dan bapa bercakap dengan anak saya. Seronok juga bila mereka turut 'terpaksa' belajar perkataan-perkataan bahasa arab. ;)

Anak saya juga banyak belajar perkataan-perkataan bahasa Melayu yang baru dan seperti biasa, dia akan terus menggunakan perkataan tersebut, tak seperti bahasa arab yang biasanya dia akan ambil masa sebelum menggunakan perkataan yang baru didengar dan difahaminya. (Saya ada bercerita serba sedikit tentang beza bahasa arab dan bahasa Inggeris dan melayu di sini)

Berada di samping ibubapa membuatkan saya teringat akan satu perkara: tentang rasa malu untuk bercakap dalam bahasa lain dengan anak di hadapan ahli keluarga. Saya akui pada awalnya, memang saya agak segan untuk bertutur dalam English atau bahasa arab. Manakan tidak, untuk bercakap dalam loghat KL pun sudah kekok (kami guna loghat kelantan di rumah. :) ), apalagi untuk menggunakan bahasa lain. Namun, saya ketepikan juga rasa kekok itu. Alhamdulillah sekarang ini rasa agak natural untuk bercakap dalam bahasa lain dengan anak ketika di hadapan ahli keluarga. Mungkin kerana sudah terbiasa dan terpaksa.

Pun begitu, saya sebenarnya masih lagi ada rasa segan untuk berbahasa arab ketika berada di khalayak ramai seperti di shopping mall, restoran, ataupun ketika di hadapan kawan-kawan. Saya akan lebih cenderung untuk menggunakan English dengan anak saya. Saya masih lagi dalam proses untuk memberanikan diri untuk menggunakan bahasa Arab dengan anak ketika berada di luar rumah.

Saya pasti ada di antara kita yang turut mengalami dilema yang sama seperti saya. Biasanya rasa segan itu wujud kerana kita risau kita banyak melakukan kesilapan grammar/nahu dalam perbualan-perbualan kita. Selain itu, rasa malu itu juga wujud kerana sememangnya kita dari kecil tak biasa bertutur dalam bahasa selain bahasa Melayu bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

Jadi antara perkara yang boleh kita lakukan untuk membantu menghilangkan rasa segan itu ialah dengan memberitahu ahli keluarga atau sahabat handai bahawa kita ingin mengajar anak kita untuk bertutur dalam banyak bahasa. Selain itu, elok juga kalau kita terus mantapkan bahasa kita supaya hilang rasa 'takut guna tatabahasa salah'. Tips seterusnya; kita 'redah je'. ;) InshaAllah lama kelamaan rasa segan atau kekok itu akan berkurangan. Terus kuatkan semangat dan cari inspirasi untuk kekal dengan keputusan kita yang ingin mengajar anak lebih dari satu bahasa.

Seperti yang saya pernah sebut, melahirkan dan mendidik anak-anak bilingual tidaklah terlalu sukar, apalagi jika kita mempunyai kemahuan yang tinggi untuk memberi hadiah bilingualism kepada anak-anak. Moga terus bersemangat dan terinspirasi, inshaAllah! ♡