Bismillah.
Mungkin ada antara kita yang terfikir kenapa perlu ajar anak bahasa kedua/ketiga sejak kecil? Bukankah ramai yang mampu jadi hebat dalam sesuatu bahasa walaupun dia mula belajar bahasa tersebut ketika di sekolah rendah atau sekolah menengah?
Itu saya tak nafikan. Tapi apa yang amat saya galakkan ialah, ajari anak supaya faham dan BERTUTUR dalam bahasa kedua/ketiga sejak anak kecil. Selain baik untuk perkembangan kognitif/minda, ia juga melatih kita bercakap dengan fasih dalam bahasa lain.
Perasan tak? Ramai yang mampu menulis dalam bahasa arab/english dengan baik, grammar bagus, ayat sempurna berbunga, tetapi bila diminta bercakap, dia tak mampu bercakap dengan fasih, semata-mata kerana dia tidak membiasakan diri untuk menggunakan bahasa tersebut dalam perbualannya.
Apabila kita terbiasa bercakap dalam banyak bahasa, ia akan memberi kesan yang sangat baik kepada minda. Kerana bertutur menuntut kita untuk bercakap dan berfikir dengan pantas tentang perkataan-perkataan dan tatabahasa-tatabahasa yang perlu digunakan. Dan bertutur juga biasanya memerlukan kita untuk menyesuaikan perkataan yang kita gunakan dengan golongan audiens yang bercakap dengan kita. Bercakap memerlukan keberanian yang tidak terhasil dari kemahiran menulis.
Kemahiran menulis adalah satu kemahiran yang perlu dipelajari, dan biasanya ia bersifat lebih formal. Kemahiran bercakap pula adalah sesuatu yang dimiliki oleh semua orang, cuma bezanya sejauh mana seseorang itu berani untuk bersuara pada audiens yang berbeza, dan dalam bahasa yang berbeza-beza.
Kerana itu pada asasnya, matlamat bilingual saya adalah salah satunya untuk mendidik anak menjadi seorang yang ada keberanian untuk bercakap dalam banyak bahasa. Dan supaya dia tidak berasa janggal apabila bercakap dalam bahasa selain bahasa Melayu.
Buat sementara anak masih kecil, target saya setakat ini hanyalah untuk melihat anak bercakap dalam banyak bahasa dan membaca buku dalam bahasa-bahasa yang berbeza. Jika dia sudah besar sedikit nanti, boleh jadi matlamat akan bertambah, bergantung kepada situasi dan minat anak. InshaAllah.
Projek bilingual adalah mudah, kerana untuk bercakap, kita tidak memerlukan kemahiran atau bahasa yang tinggi. Kebanyakannya hanya asas. Jika anak sudah besar, dia boleh kembangkan sendiri tahap penguasaannya dalam bahasa tertentu. Sebagaimana kita dapat rasakan bahasa Inggeris kita pada tahun ini adalah lebih baik dari 5 tahun lepas (meski tanpa belajar secara formal), begitu jugalah anak kita juga mampu meningkatkan kemahirannya dalam bahasa yang dia sedia tahu dari kecil.
Walaupun ada yang mendefinisikan bilingual itu adalah termasuk boleh menulis dalam lebih satu bahasa, namun jika anda memiliki kemahiran bercakap dan faham lebih dari satu bahasa, anda juga seorang bilingual. :)
No comments:
Post a Comment